(Video) Perginya Tiada Ganti .Senarai Artis Meninggal Dunia Sepanjang Tahun 2017. Al-Fatihah…& Cerita ‘Move On’ Nora Ariffin


Senarai Artis Meninggal Dunia Sepanjang Tahun 2017. Al-Fatihah…

Sepanjang tahun 2017 juga menyaksikan industri hiburan tanah air kehilangan beberapa permata seni yang banyak berjasa. Pemergian mereka tidak mungkin dapat diganti apabila mengenang kembali jasa dan sumbangan yang mereka berikan sepanjang berada dalam industri.

Dr Shahnon Ahmad meninggal dunia

Sasterawan Negara Shahnon Ahmad meninggal dunia
Sumbangan Allahyarham Shahnon Ahmad dalam dunia sastera Melayu sangat besar dan pemergian Allahyarham ibarat permata yang hilang.

KAJANG: Sasterawan Negara, Prof Emeritus Datuk Shahnon Ahmad meninggal dunia di Hospital KPJ Kajang, kira-kira jam 8 pagi, Selasa.

Berita tersebut disahkan anak Allahyarham, Asrul Sani kepada Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia, Saifullizan Yahaya.

Jenazah akan disolatkan di Surau Madani Seksyen 3 Bandar Baru Bangi selepas solat Zuhur hari ini.

Disifatkan sebagai ‘revolutioner’, Allahyarham yang dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara pada tahun 1982, sering mengetengahkan isu rakyat dalam karya-karya beliau.

Dari awal zaman penulisan beliau lagi, Allahyarham sudah menegakkan suara dan hak warga desa dan petani dalam novel berjudul ‘Rentong’ (1965) dan ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ (1973).

Walaupun mempunyai nilai kasih yang tinggi terhadap isu golongan miskin, Allahyarham turut memberi penekanan terhadap isu agama.

Contohnya, pada 1977, beliau mengemukakan gagasan sastera Islam yang menegaskan bahawa sastera Islam perlulah berhikmah untuk manusia sejagat sebagai sebuah ibadah.

Karya-karya Allahyarham yang berkisar tentang agama juga mengkritik mereka yang menggunakan agama untuk memuaskan nafsu.

Selain itu, Allahyarham sangat peka tentang isu-isu politik. Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Sik dari tahun 1999 ke 2004.

Melalui sastera, beliau menulis dengan penuh sinis tentang ahli-ahli politik pasca merdeka yang mengambil kesempatan atas jawatan mereka dan tidak memperjuangkan hak rakyat.

Sumbangan Allahyarham kepada dunia sastera Melayu bagaikan permata yang hilang.

Al-Fatihah. Sumber:astroawani

Raja Noor Saadah

Penyanyi Raja Noor Saadah meninggal dunia
Bekas penyanyi dan usahawan kosmetik Raja Noor Saadah Salehuddin meninggal dunia pagi tadi setelah terjatuh dalam bilik air di kediamannya. -Facebook noreenhayati

KUALA LUMPUR: Bekas penyanyi dan usahawan kosmetik Raja Noor Saadah Salehuddin meninggal dunia pagi tadi setelah terjatuh dalam bilik air di kediamannya.

Menurut rakan baiknya Hayati Omar, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al- Mustaqim, Bandar Seri Putra Bangi dan telah selamat dikebumikan.

Allahyarham juga merupakan bekas isteri kepada penerbit drama dan filem terkenal terkenal, Datuk Yusof Haslam.

Al-Fatihah. Sumber:astroawani

Pelakon veteran Latiff Borgiba meninggal dunia

Pelakon veteran Latiff Borgiba meninggal dunia
Latiff Borgiba meninggal dunia pada usia 80 tahun. Al-fatihah. – Foto Astro AWANI

KUALA LUMPUR : Pelakon veteran, Latiff Borgiba atau nama sebenar Abdul Latiff T. K. Gomu Kakah meninggal dunia akibat sakit tua sebentar tadi di kediamannya di sini.

Ia disahkan oleh anak Allahyarham, Ab Uzza Ab Latiff yang merupakan jurukamera di Astro AWANI sejurus selepas beliau mendapat panggilan dari bondanya.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 80 tahun.
Menurut Ab Uzza, Allahyarham mengalami kekejangan pada awal Rabu. Anak-anak datang melawat Allahyarham malam tadi di kediamannya.  Bapa saya kelihatan stabil dan masih boleh berkomunikasi dengan anak-anaknya ketika kami datang melawat.

Ayah sudah lama menghidap sakit tua,” katanya.

Dilahirkan di Bangkok, Thailand, Latiff yang berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1946 meninggalkan seorang balu, Fatimah Leman dan 16 orang anak.

Sepanjang hayatnya di dalam dunia seni, Allahyarham sangat sinonim dengan watak-watak antagonis dalam filem serta drama yang diterbitkan sejak 1960-an.

Latiff pernah melakonkan beberapa buah filem termasuk ‘Dang Lenggang’, ‘Ribut di Hujung Senja’ dan ‘Anakku Suamiku”. Antara produksi televisyen yang pernah dibintangi Latiff termasuk drama 13 episod berjudul, “Tekukur Tak Berbunyi Lagi”.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Danau Kota, Setapa

Al-Fatihah. Sumber:astroawani

Pelakon veteran Sony Abdullah meninggal dunia

Pelakon veteran Sony Abdullah meninggal dunia
Sony Abdullah, meninggal dunia petang ini di kediamannya di Selayang kerana sakit tua.

KUALA LUMPUR: Seniman filem Melayu terkenal era 1960-an, Datuk Abdullah Sani Ahmad, atau dikenali Sony Abdullah, meninggal dunia petang ini di kediamannya di Selayang kerana sakit tua.

Beliau yang berusia 74 tahun menghembus nafas terakhir pada pukul 4.15 petang tadi.iv>

Anaknya, Fathorossoim Al-Sani Abdullah Sani berkata jenazah akan disembahyangkan di Masjid Melati Selayang dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong, Batu Caves di sini selepas solat Isyak malam ini.

“Pada 7 Oktober lepas, kami baru meraikan hari lahirnya yang ke 74 dan arwah masih sihat dan gembira ketika itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Allahyarham meninggalkan lima anak.

Sepanjang kerjaya seninya, Allahyarham pernah mencipta fenomena menerusi filem Permintaan Terakhir pada tahun 1975, Menanti Hari Esok (1977), dan Gadis Langkawi (1966).

Al-Fatihah. Sumber: BERNAMA

Vokalis Kumpulan Panji Meninggal Dunia

Vokalis Panji

Malam tadi, kumpulan Panji kehilangan vokalisnya apabila Norman menghembuskan nafasnya terakhir kira-kira jam 7.45 malam.

Norman atau nama sebenarnya Mohd Nor Husin disahkan meninggal dunia di rumahnya di Jalan Lembah, kampung Sungai Buaya, Dungun, Terengganu.

Menurut adiknya, Mohd Shafie, Norman muntah darah secara tiba-tiba sebelum tidak sedarkan diri. Anak sulung Norman, Haris Haikal turut berada di sampingnya ketika itu.

Pegawai Perubatan Hospital Dungun yang tiba selepas dihubungi Shafie mengesahkan Norman sudahpun meninggal dunia ketika itu.

Penyanyi yang popular dengan lagu Sayap Terluka ini meninggalkan bekas isteri dan empat orang anak yang berusia antara 11 hingga 16 tahun.

Dalam pada itu, rakan baik Allahyarham, Mohd Fadli Abdullah menyatakan Norman perlu menghadiri temu janji doktor pada 18 Disember depan selepas menjalani rawatan pada 3 Disember lalu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Tambahnya lagi, dia agak terkilan kerana tidak dapat menunaikan permintaan terakhir arwah yang teringin hendak ke sebuah pusat beli-belah yang terletak di Kemaman.

Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan keluarganya tabah menjalani ujian ini.

Al-fatihah .Sumber: budiey.com

Jimmy Pemain Bass Kumpulan Samudera Meninggal Dunia

PEMAIN bass kumpulan Samudera, Azizan atau lebih dikenali sebagai Jimmy meninggal dunia pada Ahad di Rengit, Batu Pahat.

Menurut pengurus kumpulan tersebut, Mahadi Latif, dia mendapat tahu tentang berita kematian Jimmy selepas menerima panggilan daripada Shah Samudera.

Jimmy meninggal dunia pada usia 48 tahun.

Mahadi berkata, salah seorang ahli Samudera, Jep cuba mengejutkan Jimmy untuk bangun namun dia mendapati pemuzik itu sudah tidak bernafas.

“Saya terima panggilan daripada Shah mengatakan Jimmy sudah meninggal dunia antara pukul 7.30 hingga 8 pagi. Jep beritahu saya yang dia cuba kejutkan Jimmy bangun tapi dia tak bergerak dan tidak bernyawa,” kata Mahadi ketika dihubungi mStar Online.

Tambah Mahadi, Jimmy dan ahli kumpulannya membuat persembahan di Batu Pahat pada malam sebelum kejadian namun tidak menyangka itu adalah untuk kali terakhir mereka bersama.

Malah, Jimmy tidak menunjukkan sebarang tanda sakit dan membuat persembahan dengan baik pada malam itu.

“Samudera ada persembahan di Rengit, Batu Pahat. Tak sangka itu adalah untuk kali terakhir buat Jimmy.

“Malam dia buat persembahan itu nampak baik sahaja. Tak ada tanda-tanda dia sakit. Tapi dah ajal, Allah lebih sayangkan dia,” ujarnya.

Mahadi memberitahu Jimmy tidak mempunyai penyakit dan doktor masih belum mengenal pasti punca kematiannya.

Allahyarham mempunyai seorang isteri dan dua orang anak.

Samudera adalah salah sebuah kumpulan rock yang terkenal di tahun 90-an dan antara lagu popular mereka berjudul Sungguh Tak Ku Sangka, Airmata Dewiku dan Mekar Dijiwa.

Al-Fatihah. Sumber: Mstar Online

Penyampai Radio Nadira Azizan Meninggal Dunia

Selepas seminggu bertarung nyawa hingga koma, Pengurus Kandungan THR Gegar yang dulunya bekas penyampai radio Era FM, Nadira Azizan atau nama sebenarnya Khidirah Naimah Mohd Zain, 41, telah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, pada jam 7.10 pagi tadi.

Allahyarham meninggal dunia disebabkan demam denggi dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, tengah hari ini.

Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan kira-kira pukul 3 pagi Isnin lalu selepas mengalami demam ketika berada di Kota Bharu, Kelantan sewaktu mengadakan promosi saluran radio itu.

Sebaik pulang ke Kuala Lumpur pada malam Ahad, dia terus dibawa oleh Hasrul Rizal ke KPJ Kajang untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke HKL dan di tempatkan di wad ICU.

Pada 1998, Nadira menjadi antara penyampai awal Era FM ketika saluran radio itu baru enam bulan beroperasi.

Nadira antara individu awal di Era FM dan sering menjadi penyampai radio ganti ketika juruhebah lain bercuti. Allahyarham pernah berganding dengan penyampai popular, Halim Othman apabila teman penyampai ketika itu, Jamal Jamaluddin bercuti.

Pada tahun 2008 dia dipindahkan ke THR Gegar sebagai Eksekutif Muzik sebelum dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Kandungan saluran radio untuk pendengar Pantai Timur itu.

Nadira antara penyampai radio yang disenangi ramai kerana sikap ramah dan tinggi budi bahasanya.

Menurut Hasrulrizal, jenazah dijadual akan disembahyangkan di masjid Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dekat sini dan dikebumikan tanah perkuburan Islam di situ.

Arwah meninggalkan suami, Hasrul Rizal Hassan dan lima anak.

Al-fatihah .Sumber: budiey.com

Pak Engku Kuzie Catering Meninggal Dunia

Selebriti Cef popular, Datuk Raja Rosly Raja Mazlan atau lebih dikenali sebagai Pak Engku, 58, meninggal dunia di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam jam 9.10 malam kerana penyakit kencing manis dan komplikasi buah pinggang.

Pak Engku yang pernah merakamkan dua album, dimasukkan ke hospital itu dua hari lalu dan keadaanya kritikal jam 7 malam tadi.

Difahamkan, jenazah kini dibawa ke rumahnya di Shah Alam dan akan dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, esok pagi.

Allahyarham meninggal dunia di sisi isteri, Datin Ramziah Samah dan tiga anak-anaknya.

Pak Engku yang juga pemilik Kuzie Catering Sdn Bhd, menjadi pilihan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak setiap tahun untuk Rumah Terbuka Aidilfitri di Seri Perdana menyediakan juadah untuk 20,000 tetamu.

Kuzie Catering juga menjadi pilihan pihak istana dan juga kalangan kenamaan untuk majlis perkahwinan dan rumah terbuka.

Malah, selebriti terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Yusry Abdul Halim dan Lisa Surihani, Irma Hasmie serta Awal Ashaari turut menggunakan khidmat katering Pak Engku

Al-Fatihah.Sumber by Kak Hartati Hassan Basri HMetro

Komposer Terkenal Johan Nawawi Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Komposer terkenal yang juga suami kepada penyanyi Nora Ariffin, Johan Nawawi, 52, meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya, kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Berita sedih itu dikongsi beberapa kenalan industri termasuk pengurus artis, Lisa Tahir.


KOMPOSER Johan Nawawi yang juga suami kepada penyanyi Nora Ariffin meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya, 6.30 pagi tadi.

Bagaimanapun, punca kematian Johan belum dapat dikenalpasti. Allahyarham difahamkan mempunyai beberapa masalah kesihatan seperti jantung, gout dan kencing manis. Jenazah akan dimandi dan dikafankan di masjid di Kampung Tunku, Petaling Jaya, selepas solat Jumaat.

Sepanjang kariernya, Johan aktif mencipta lagu termasuk lagu buat isterinya seperti Desa Tercinta, Naluri dan Samudera.

Ary Malik meninggal dunia

Ary Malik meninggal dunia
Pelakon dan pengacara, Ary Malik disahkan meninggal dunia pada pukul 7.17 malam ini, menurut suaminya Shahrul Nizam Shaharuddin, 46. – Gambar fail

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Ary Malik disahkan meninggal dunia pada pukul 7.17 malam tadi, menurut suaminya Shahrul Nizam Shaharuddin, 46.

“Saya berasa satu kehilangan besar kerana dia merupakan isteri yang sangat penyayang dan menjadi kesayangan ramai.

“Saya hilang sesuatu yang besar dalam hidup saya,” ujar Shahrul Nizam dalam pesanan ringkas kepada media.

Dia yang mengakui banyak belajar tentang kehidupan bersama Ary, turut memberitahu bahawa anak-anak mereka masih dalam keadaan bersedih dan terkejut.

“Mereka sudah mula rindu dan berasa  ketiadaan ibu mereka sewaktu arwah dimandikan,” katanya.

Shahrul Nizam juga ingin mengucapkan terima kasih atas doa dan ucapan takziah yang disampaikan kepada mereka sekeluarga.

Sebelum ini, Ary dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas dimasukkan ke Hospital Ampang akibat kanser ovari tahap empat.

Ary dimasukkan ke hospital itu pada 18 Februari lalu selepas keadaannya semakin lemah namun dia mula tidak sedarkan diri sejak Selasa lalu.

Ary sudah mengesan penyakitnya itu sejak hampir setahun lalu, dan pernah menjalani pembedahan pada bulan Mei tahun lalu di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju.

Doktor sebelum ini turut mengesyaki barah yang dihidap Ary merebak ke bahagian kepala.

Ary yang mula mewarnai dunia seni dan penyiaran tempatan sejak tahun 90-an pernah menyertai rancangan realiti iaitu MasterChef Malaysia terbitan Astro pada tahun 2012.

Hasil perkongsian hidup dengan Shahrul Nizam, Ary atau nama sebenarnya Nurita Maliha Aryanee Abdul Malik, 46, dikurniakan tiga orang anak – Nurh Zoe Iman Malik, 19, Dinda Pelangi Timor Malik, 13, dan Ratu Chinta Mecca Malik, 11.

Al-Fatihah. Sumber:astro awani

Seniman legenda, Jins Shamsuddin meninggal dunia

Seniman legenda, Jins Shamsuddin meninggal dunia

Keadaan kesihatan Tan Sri Jins kurang memberangsangkan selepas disahkan menghidap penyakit Alzheimer sejak 2011. – Gambar fail

KUALA LUMPUR: Seniman legenda, Tan Sri Jins Shamsuddin meninggal dunia di Klinik Idham di Taman Melawati, Selangor sekitar 5.45 petang tadi.

Allahyarham berusia 82  tahun.

Menurut kenyataan Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah, industri telah kehilangan seorang lagi permata seni tanah air.

“Dukacita dimaklumkan bahawa industri hiburan Negara kehilangan seorang lagi permata seni tanah air iaitu Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin sebentar tadi di Klinik Idham Taman Melawati.

Allahyarham tinggal bersama isterinya, Puan Sri Halijah Abdullah di Hulu Klang dekat sini dan keadaan kesihatannya kurang memberangsangkan selepas disahkan menghidap penyakit Alzheimer sejak 2011.

Allahyarham mempunyai tiga orang anak Jefri Jins, Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim.

Anak Allahyarham, Putera Hang Jebat berkata jenazah bapanya akan disembahyangkan di Masjid Hulu Kelang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hulu Kelang pagi esok.

Al-Fatihah. Sumber:astro awani

Sumber :mstar

(Visited 114 times, 1 visits today)

Tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *