(Video) Jangan Cari Makan Atas Kesusahan Orang Lain


Cari makan atas kesusahan orang lain

Keadaan terkini Dhia yang sudah mampu berdiri dan berjalan dengan memakai kaki palsu. (Gambar kanan) Status menggunakan gambar Shuhaila dan Dhia yang ditularkan. FOTO ihsan Shuhaila Norasmira

SEORANG wanita meminta orang ramai tidak terpedaya dengan tindakan individu yang menggunakan gambar lama dirinya dan anak perempuan dengan menularkan di Facebook (FB) bagi memohon bantuan untuk menampung pembedahan kanak-kanak berjumlah RM73,000.

Shuhaila Norasmira Mohd Syukri, 27, mendakwa permohonan bantuan berkenaan dimuat naik sejak pagi hari ini menerusi akaun FB, Berita Harian Online Malaysia.

“Saya terkejut apabila mendapati ada pihak mengambil kesempatan menggunakan gambar kami ketika menerima rawatan di hospital selepas terbabit dalam kemalangan pada 2014.

“Individu terbabit mengambil kesempatan menggunakan gambar anak saya (Dhia Dhalieya Mohamad Nor) yang kini sudah berusia tiga tahun untuk meraih simpati selepas kehilangan kaki kiri susulan kemalangan itu.

“Nyata ia adalah satu penipuan kerana anak perempuan saya kini sihat dan sudah mampu memakai kaki palsu yang disediakan Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), Kuala Lumpur,” katanya.

Menerusi status yang dimuat naik itu, tiga gambar Dhia termasuk sekeping yang menunjukkan Shuhaila meriba anaknya digunakan.

Status itu memohon bantuan bagi menampung pembedahan Mohamad Ghaffar Azman berjumlah RM73,000 dengan disertakan nombor akaun bank didakwa milik bapa kanak-kanak itu, Azman Abdullah.

Pada Disember 2015, Harian Metro menyiarkan laporan mengenai perkembangan kesihatan Dhia yang terpaksa menjalani empat pembedahan termasuk membuang sebahagian usus serta kehilangan kaki kiri susulan terbabit dalam kemalangan bersama keluarganya di Paka pada 28 Oktober 2014.

Kanak-kanak itu mengalami kecederaan parah selepas tercampak keluar dari kenderaan yang dinaiki bersama bapanya, Mohamad Nor Omar, 26, dan Shuhaila Norasmira selepas Perodua Kancil mereka terbabas di Jalan Perindustrian Kerteh.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, tiga beranak berkenaan dalam perjalanan pulang ke Taman Murni Perdana, Paka selepas ke Kemaman atas urusan peribadi.

Dhia berusia dua bulan ketika itu berada di atas riba ibunya dikatakan terlepas daripada pegangan sebelum tercampak keluar kerana masing-masing tertidur di bahagian tempat duduk penumpang depan apabila kereta terbabit terbabas.

Selain Dhia parah dalam kejadian itu, Shuhaila turut cedera selepas ditindih kenderaan berkenaan yang terbalik.

Berikutan kemalangan terbabit, Dhia menerima rawatan pakar selama 35 hari di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dirujuk dari Hospital Dungun.

Menurut Shuhaila, dia tidak mahu orang ramai terpedaya dengan menghulurkan bantuan yang ditularkan pihak tertentu yang diyakini bertujuan untuk menipu kerana menggunakan gambar dirinya dan Dhia.

“Saya mengharapkan penjelasan ini dapat memberi pencerahan kerana ramai rakan-rakan dan netizen bertanyakan mengenai status FB yang ditularkan itu.

“Saya juga akan berbincang dengan suami sama ada mahu membuat laporan polis mengenai status berkenaan,” katanya yang mempunyai dua lagi anak, Nor Alya Balkis, 10, dan Afiq Danial, 9.

Sumber:hmetro

(Visited 23 times, 1 visits today)

Tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *