(Video) BNM serbu premis ambil deposit haram.


BNM serbu premis ambil deposit haram


– Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu sembilan premis sekitar Lembah Klang yang mempunyai kaitan dengan Koperasi Dinar Dirham Berhad kerana disyaki mengambil deposit haram.

BNM dalam satu kenyataan, berkata serbuan itu dilakukan hari ini dengan Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara dari Jabatan Peguam Negara; Polis Diraja Malaysia; Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Cyber Security Malaysia.

Dalam serbuan itu, katanya, enam pengarah syarikat disyaki berperanan sebagai dalang dan ejen yang terbabit dengan pengambilan deposit haram ditahan serta menyita pelbagai dokumen bagi membantu siasatan.

“Lapan buah kenderaan bernilai RM1.5 juta disita dalam operasi berkenaan dan BNM membekukan 114 akaun dari 12 bank berjumlah RM15.3 juta.

“Sejumlah wang tunai dan mata wang asing berjumlah RM1.4 juta turut dirampas selain menyita logam seberat 22.5 kilogram (kg),” katanya.

Kenyataan itu berkata, Koperasi Dinar Dirham dipercayai menjalankan kegiatan yang salah mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Katanya, serbuan itu sebahagian daripada usaha berterusan antara agensi bagi mengekang sebaran bentuk skim kewangan haram.

ANTARA senarai nama syarikat yang disenaraihitamkan oleh Bank Negara Malaysia pada pautan rasminya di http://www.bnm.gov.my/microsites/fraudalert/0301_status.html

Tambahnya, pihak berkuasa juga sedang bekerjasama dengan Unit Perisikan Kewangan Brunei untuk menjalankan siasatan berhubung operasi syarikat itu di negara berkenaan bagi kesalahan sama.

“Mengikut Seksyen 137(1) FSA, menjadi kesalahan bagi sesiapa saja menerima deposit tanpa memiliki lesen. Penyiasatan berhubung pengubahan wang haram juga akan dilakukan mengikut AMLA,” katanya.

Individu yang disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 137(1) FSA boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil yang diperoleh melalui aktiviti atau instrumentaliti haram, ketika kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Orang ramai dinasihati berhati-hati dengan kegiatan syarikat tanpa lesen untuk membuat pelaburan dan perlu merujuk kepada institusi kewangan berlesen yang tersenarai di laman sesawang BNM (www.bnm.gov.my).

Sumber: beritaharian, youtube, MYNEWSHUB.CC

(Visited 44 times, 1 visits today)

Tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *