Siap Dua Minggu,Harga Rumah Bawah RM20,000


Harga Rumah Bawah RM20,000, Siap Dua Minggu

MUNGKIN ada yang beranggapan tidak logik untuk bina sebuah rumah dilengkapi tiga bilik, ruang tamu, dapur dan bilik air dengan kos kurang daripada RM20,000 dalam tempoh dua minggu termasuk pemasangan air dan elektrik.

Namun  Projek Rumah Komuniti Parlimen Besut, Terengganu berjaya membuktikan kemampuan dan kepakaran menyediakan rumah mampu milik kepada penduduk miskin dan kurang kemampuan dengan kos rendah dan masa yang singkat.

Projek ini diilhamkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut kerana mahu menyelesaikan masalah ketiadaan rumah dalam kalangan penduduk miskin dan kurang mampu.

Pegawai Khas Datuk Seri Idris Jusoh yang juga penyelaras projek pembinaan rumah komuniti ini, Mohd Radhi Hamzah berkata, bermula 2016 mereka menyiapkan 149 rumah hingga kini dan sasaran keseluruhan ialah 200 unit rumah menjelang penghujung tahun 2017.

“Mungkin ramai yang sangsi namun, sekumpulan pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia berjaya membuktikan mereka boleh membina rumah berkeluasan 600 kaki persegi itu dengan kos dan tempoh berkenaan. Dengan dibantu pensyarah selain berbekalkan kemahiran, mereka melakukan pembinaan ‘luar biasa’ itu di empat Dun Daerah Besut .

“Aplikasi teknologi  Sistem Pembangunan Industri (IBS) diguna pakai dalam usaha merealisasikan impian golongan kurang berkemampuan untuk memiliki sebuah rumah sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Radhi berkongsi rahsia kos rendah bagi pembinaan ini adalah kerana tiada kos buruh.

“Ia dibina dengan semangat gotong-royong dan kesukarelawan  serta kepakaran kolej komuniti , politeknik dan kontraktor kampung.

“Kita siapkan dalam tempoh seminggu  dan untuk pendawaian elektrik dan pemasangan paip air memakan masa dua minggu,” ujarnya.

Katanya,  pemilihan orang yang layak menerima bantuan rumah ini dipilih berdasarkan cadangan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)  berdasarkan kriteria paling miskin, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), sebatang kara, keluarga besar yang susah.

“Rumah ini diberikan secara percuma kepada mereka dengan syarat mereka mempunyai tanah sebagai tapak rumah dan belum pernah memiliki rumah.

“Buat masa ini projek rumah murah ini cuma dibangunkan dalam Daerah Besut, namun sudah mendapat permohonan daripada Kerajaan Negeri Perak, Kedah dan Johor untuk memperluas pembinaannya di negeri lain,” katanya.

-Sumber: Sinar Online

(Visited 3 times, 1 visits today)

Tagged , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *