Saya tidak pernah tahu dia boleh bermain alat muzik dan mencipta lagu – Tam Spider


Zuriat ikut jejak Tam

TAM bersama isteri dan anak.

Pepatah ‘ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’ sesuai ditujukan kepada komposer dan penyanyi, Tam Spider apabila semua tiga anak lelakinya, Muhd Aliff, 24; Muhammad Afiq, 8, dan Muhammad Aqil, 5, cenderung ke arah bidang muzik.

Tam atau nama sebenarnya Rustam Mustafa, 45, berkata, Aliff memiliki band sendiri, Afiq boleh bermain dram dan menyanyi, sementara Aqil pandai bermain gitar.

“Sejujurnya, saya tidak pernah menggalakkan mereka bermain muzik. Malah, jauh sekali nak menyuruh mereka ikut jejak langkah saya. Saya perasan, minat dan kecenderungan mereka ini datang secara semula jadi. Pada masa sama, hampir setiap hari mereka melihat saya bermain muzik di rumah.

“Macam Aliff, saya tidak pernah tahu dia boleh bermain alat muzik dan mencipta lagu. Selepas dia memuat naik di laman Instagram, baru saya tahu dia berbakat. Lebih mengejutkan saya, dia mempunyai band sendiri. Saya sama sekali tidak menjangka. Apatah lagi selama ini dia tidak pernah cakap dengan saya.

“Berbeza dengan Afiq dan Aqil pula, saya boleh nampak perkembangan mereka. Kalau kebetulan saya bermain gitar, mereka akan turut serta. Saya boleh katakan mereka meneroka sendiri bidang muzik,” katanya.

TAM bersama anak sulungnya, Aliff

Menurut Tam, lebih mengujakan dirinya apabila Afiq dan Aqil boleh ‘jamming’ dengan baik untuk beberapa lagu nyanyian Spider.

Malah, ketika dalam kereta, kedua-dua anaknya itu lebih tertarik untuk mendengar lagu Spider daripada album pertama sehingga sekarang berbanding lagu lain.

“Selepas melihat kecenderungan mereka, baru saya ajar secara perlahan-lahan. Kalau boleh tak nak paksa tetapi mereka menunjukkan minat pada bidang muzik. Jadi, tak salah untuk saya ajar dan perbaiki cara mereka bermain alat muzik.

“Sesekali saya ajak mereka ‘jamming’. Lagu kegemaran mereka adalah Mungkinkah Terjadi. Saya memang tidak menyangka mereka boleh bermain secara penuh lagu ini. Sekiranya saya minta mainkan lagu lain, mereka juga boleh buat.

“Sebagai komposer dan pemuzik, saya meletakkan 60 sehingga 70 peratus tahap kebolehan mereka bermain muzik berdasarkan usia sekarang. Bagi saya, ia pencapaian luar biasa membabitkan kanak-kanak yang tidak ada latihan dan kelas asas muzik,” katanya.

Tidak hanya itu, Tam juga berkongsi Afiq mulai menunjukkan kebolehan mencipta lagu.

Namun, sebagai bapa Tam tetap memberi keutamaan kepada pendidikan anaknya. Bidang muzik adalah minat dan pilihan mereka apabila dewasa kelak.

DARI kiri, Afiq dan Aqil.

“Orang selalu kata, menerusi muzik seseorang dapat mendisiplinkan diri. Seperti dia bermain mengikut nota muzik, begitu juga dia boleh praktikkan dalam diri. Jadi, saya percaya menerusi muzik juga membantu perkembangan anak .

“Namun, saya tidak boleh biarkan mereka lalai. Pelajaran tetap menjadi keutamaan. Bermain muzik ini sekadar mengisi masa lapang sekiranya tidak ada aktiviti. Bagusnya, mereka juga meminta izin daripada ibu terlebih dulu sebelum bermain muzik.

“Mereka juga pastikan kerja sekolah siap. Jika tidak, memang tidak ada peluang. Saya dan isteri perlu tegas dalam perkara ini. Saya mahu mereka faham mana perkara yang lebih penting,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tam bakal terbabit dalam program realiti terbitan TV3 tidak lama lagi.

Menurut Tam, dia menerima tawaran itu selain ingin mencuba sesuatu yang baru dalam kerjaya seninya.

“Walaupun program ini pernah bersiaran selama beberapa musim, konsep kali ini berbeza membabitkan peserta.

Jadi, saya melihat ini satu peluang dan pengalaman baru sepanjang terbabit dalam bidang ini,” katanya.

Sumber:hmetro

(Visited 15 times, 1 visits today)

Tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *