Paksaan Berlari Untuk Kurus.


Memaksa Diri Berlari Untuk Kekal Kurus

KUALA LUMPUR – Suasana gym masih senyap. Belum ada bunyi orang berlari di atas treadmill mahupun bunyi dengusan orang yang mengangkat berat serta hentakan peralatan yang digunakan. Senyap dan sunyi begitu mendamaikan hati.

Terasa sungguh tenang pagi itu daripada yang selalu. Berdiri di tepi tingkap, pandangan saya tertumpu kepada kerja-kerja pembinaan Hotel Four Seasons dan di belakangnya, Hotel Jumeira, berhampiran Menara Berkembar Petronas dan Suria KLCC.

Saya juga boleh melihat penunggang motosikal yang memecut laju di celah-celah kereta dan kedengaran bunyi hon yang bertalu-talu, memecah kesunyian pagi.

Memang boleh menjadi asyik melihat semuanya itu tetapi minda saya sebenarnya berada dalam dunia yang berlainan yang bukan asing bagi saya.

AKIBAT ANOREKSIA NERVOSA

Sebenarnya saya mempunyai masalah gangguan pemakanan, lebih khusus penyakit Anoreksia Nervosa dan ini sudah berlarutan bertahun-tahun lamanya. Ini kerana saya begitu taksub untuk mengekalkan bentuk badan saya yang kurus dengan sanggup melakukan pelbagai aktiviti di luar termasuk berlari.

Saya kini berusia 31 tahun dan bergelut dengan penyakit ini sejak menuntut di universiti di Melbourne, Australia. Bertahun lamanya saya sering mencari cara untuk mengekalkan badan saya yang kurus kering dan dalam masa yang sama mahu menikmati hidangan yang lazat dan enak.

Semasa kecil hingga remaja, saya gemar makan serta memasak dan tidak suka bersukan. Masih segar dalam ingatan saat-saat indah bersama arwah nenek saya di dapur, membantu untuk menyediakan makanan bukan sahaja untuk hidangan keluarga tetapi juga jika ada majlis keramaian.

Berat badan saya sebelum mengalami Anoreksia Nervosa ini ialah 92 kg dan kini sekitar 64 kg. Sewaktu saya bergelut dengan penyakit ini, berat badan saya menyusut mendadak kepada 54kg dalam tempoh setahun (2008) dan pada masa itu saya berada pada tahun kedua di universiti di Melbourne, Australia.

Tubuh badan yang besar membuatkan saya berasa rendah diri dan perasaan ini sudah lama saya pendamkan. Rasanya tidak tertahan lagi untuk menahan rasa malu ketika membeli pakaian, berdiri di hadapan kelas untuk pembentangan, apa tah lagi apabila bermain bola sepak dengan rakan-rakan.

Sejak berat badan turun pada 2008, saya berhenti langsung makan nasi, daging ayam, makanan laut, cokelat, aiskrim dan makanan manis yang lain selama hampir enam tahun. Saya hanya makan roti mil penuh dan buah-buahan.

Bagaimanapun, apabila saya ke United Kingdom untuk pengajian Ijazah Sarjana, saya membuat keputusan untuk ‘memerangi’ penyakit saya dan bermulalah episod baru dalam hidup saya iaitu berlari kerana dengan cara itu saya boleh kembali menikmati makanan.

MENGEKALKAN TUBUH BADAN YANG KURUS KERING

Saya tahu saya tidak boleh membiarkan keadaan ini berlarutan kerana keadaan ini juga menyebabkan saya memaksa diri saya menjadi ‘obligatory runner’.

Satu-satunya cara untuk saya tak bimbang tambah berat badan selepas makan ialah dengan berlari kerana saya tahu cara itu boleh menyingkirkan kalori.

“Cuma bila saya tak berlari saya akan kurangkan makan kalau tidak saya akan berasa diri sudah gemuk dan habislah saya menyalahkan diri sendiri.

Saya sering berasa bersalah jika tidak berlari terutama sekali jika saya makan banyak pada satu-satu hari. Pernah saya menghukum diri sendiri pada keesokan hari dengan tidak makan sepanjang hari!

Malah jurulatih peribadi saya Azhar Choo bimbang dengan ketaksuban saya dengan berlari.

Semuanya bermula selepas saya menyertai acara larian sejauh 3km, untuk berseronok sahaja dan kemudian saya menyertai larian untuk lima kilometer, 10 km dan akhirnya separuh marathon 21km. Setiap kali saya menetapkan sasaran untuk memperbaiki masa larian saya.

Saya fikir sekiranya saya jauh berlari, saya akan berasa lebih baik. Bagi saya berlari jarak dekat tidak akan membantu saya membakar kalori.

Secara purata saya berlari 7 km setiap hari, sama ada di atas treadmill atau di luar. Larian yang paling jauh pernah saya sertai adalah 21km iaitu separa marathon.

Saya terpaksa berhenti berlari selama enam bulan (Feb-Ogos) tahun ini kerana diserang sakit ‘acute slipped discs’ . Saya sudah mula melakukan kegiatan larian saya sekarang dan sewaktu tempoh pemulihan saya mendapat bantuan juru latih peribadi saya di gym.

BUKAN BERSENDIRIAN

Sebenarnya saya bukan sendirian dalam hal ini. Sewaktu menyertai acara larian, saya berkenalan dengan Anne Chung, 53, seorang pelari marathon yang sememangnya tidak pernah terlepas menyertai acara berkenaan. Beliau juga mengalami masalah seperti saya. Chung bagaimanapun dikenali sebagai seorang yang sangat ekstrem.

Chung mula menyertai acara marathon penuh sewaktu berusia 39 tahun. Beliau mempunyai cara latihan yang ketat untuk mempersiapkan dirinya menyertai larian sejauh 42km itu.

“Setiap hari Ahad saya bangun tidur pukul 4.00 pagi untuk berlari sejauh 30km. Dari hari Selasa hingga Jumaat saya berlari antara 7-8 km dengan tambahan latihan kelajuan pada hari Rabu,” kongsi Chung dan menambah beliau pernah mengambil bahagian dalam Marathon Jambatan Pulau Pinang meskipun ketika itu buku lalinya cedera sebulan sebelum persediaan untuk acara berkenaan.

“Buku lali saya cedera ketika berlatih dan memandangkan saya sudah melakukan pelbagai persiapan saya tak mahu menarik diri. Saya berjumpa seorang doktor sukan dan membuat fisioterapi setiap hari untuk selama tiga minggu.

“Untuk acara marathon itu saya mengambil ubat tahan sakit. Selepas acara itu, saya terpaksa berhenti berlari selama enam bulan untuk pulih daripada kesakitan yang saya alami,” katanya yang turut menyertai marathon penuh di Phuket, Thailand.

“Tiga minggu kemudian saya menyertai pula Standard Chartered Marathon. Pada awalnya saya ok sahaja sehinggalah selepas berlari sejauh 15km, kaki saya mula terasa berat dan saya terpaksa diangkut dengan ambulans. Saya tak dapat habiskan acara itu,” katanya.

Apabila ditanya mengapa beliau mendera dirinya sebegitu rupa, Chung menjawab: “Jika saya berhenti berlari seminggu, saya akan rasa amat bersalah walaupun berat badan tak bertambah, saya mesti lakukannya.

“Anda akan rasa bagus sangat selepas berlari…. seperti anda berjaya mencapai sesuatu. Akhirnya anda akan memaksa diri anda terus berlari, ” kata Chung.

MASIH DIBEBANI ANOREKSIA NERVOSA

Sudah sembilan tahun saya bergelut dengan penyakit Anoreksia Nervosa ini dan memaksa diri saya berlari. Saya sedar bukan mudah untuk mengatasi masalah ini kerana ia turut melibatkan minda saya.

Saya juga perlu melihat perkara-perkara yang menjadi keutamaan dalam hidup saya.

Satu daripada cara untuk memerangi penyakit ini serta obligasi saya untuk berlari adalah dengan menulis pengalaman saya ini. Menerusi penulisan, saya sedar apa yang saya lakukan selama ini adalah salah dan sudah tentunya bukan cara yang sihat untuk kehidupan saya.

Perkara paling penting untuk menurunkan berat badan ialah dengan memahami sistem tubuh badan kita dan mula makan dengan cara yang betul di samping melakukan senaman yang betul.

—————————————————————————————————————————————–

RUANGAN SISI

‘OBLIGATORY RUNNER’

Pensyarah kanan Psikolgi Sukan Universiti Malaya, Dr Lim Boon Hooi menjelaskan ‘obligatory runner’ adalah individu yang menghabiskan banyak masa berlari meskipun mengalami kecederaan.

Mereka sanggup mengorbankan komitmen sosial, mengabaikan hubungan peribadi, serta akan dihantui perasaan bersalah, murung dan mudah marah sekiranya tidak melakukan larian.

“Masalah obligatory runner ini ada kaitannya dengan gangguan pemakanan; melibatkan rutin larian yang berlebihan, sikap yang taksub, bimbang dengan bentuk dan berat badan dan semuanya ini akan membuatkan mereka menyekat apa yang hendak dimakan.

“Antara ciri peribadi mereka ialah menyekat perasaan marah, jangkaan diri yang melampau, tahan sakit, tidak mahu mengaku lemah dan boleh mengalami kemurungan,” jelasnya.

Menurut Lim, golongan ini juga akan berasa begitu bersalah sekiranya jadual larian mereka terganggu.

“Mereka akan menambah masa untuk melakukan rutin larian sekiranya berhenti berlari dan turut melakukan latihan demi latihan dan hidup mereka juga hanyalah untuk larian, ” katanya.

Sumber: BERNAMA

(Visited 14 times, 1 visits today)

Tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *