Masih Degil… Sesen Pun Hana Belum Dapat Wang Daripada Watie



Mahkamah Sesyen Selayang pada Oktober lalu memerintahkan Watie membayar RM112,000 kepada Hana.

SOAL tuntutan hutang antara dua sahabat iaitu Hana Adnan dan Watie Sadali masih belum selesai apabila Watie didakwa gagal membayar sesen pun wang berjumlah RM112,000 kepada Hana seperti diperintahkan Mahkamah Sesyen Selayang pada Oktober tahun lalu.

Hana atau Norhanasafiza Mat Adnan, 40, berkata, Watie memberikan alasan kononnya tidak mengetahui keputusan itu sebagai punca tidak melunaskan hutang tersebut.

“Sehingga ke hari ini saya masih belum menerima sebarang bayaran seperti mana diperintahkan pihak mahkamah sejak Oktober tahun lalu.

“Saya sendiri tidak tahu apa masalah dia (Watie) tidak mahu membayar hutang tersebut.

“Alasan dia tidak tahu mengenai perintah tersebut memang tak masuk akal,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Pada Oktober tahun lalu, Watie diperintah membayar RM112,000 melalui Jabatan Insolvensi bagi memadamkan nama Hana yang disenaraihitamkan.

Watie bersama suami, Joey ketika hadir ke mahkamah bagi mendengar kes melibatkannya dengan Hana.

Jumlah itu perlu dilunaskan dengan bayaran permulaan sebanyak RM99,500 sebelum atau pada 30 November tahun lalu dan baki sebanyak RM2,500 sebulan bermula Januari sehingga Mei 2018 perlu dibayar secara berperingkat.

Keputusan itu dibuat selepas Watie tidak mampu membayar tuntutan saman penghakiman berjumlah RM707,351.81 yang diperintahkan mahkamah sama pada 10 Mac 2015.

Ganti rugi itu diperoleh selepas Hana mendapat kemenangan menerusi tuntutan berhubung kegagalan Watie melunaskan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya bagi membeli sebuah kenderaan jenis Toyota Wish.

Hana mendakwa, Watie yang menggunakan kereta itu gagal membayar ansuran bulanan, cukai jalan, insurans dan perkara berkaitan sejak September 2010.

Akibatnya, Hana diisytiharkan muflis pada 1 April 2013 dan tidak boleh ke luar negara.

Dalam pada itu, Hana berkata, keengganan Watie membuat pembayaran itu juga menyebabkan proses membersihkan namanya daripada senarai bankrap juga terganggu.

Atas dasar itu juga, Hana berkata, dia tidak teragak-agak untuk membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkan haknya dibela.

“Saya difahamkan oleh peguam pihaknya juga ada melantik peguam dan saya sendiri akan membawa kes tersebut ke Mahkamah Tinggi sekiranya dia tetap berdegil bagi mendapatkan hak saya,” katanya.

Sementara itu, peguam Hana iaitu Samir Zainal memberitahu pihaknya akan cuba menyelesaikan perkara itu dengan Watie sebelum sebarang keputusan membawa perkara itu ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, pihaknya masih terbuka untuk Watie membayar tuntutan berkenaan memandangkan perintah mahkamah sudah dikeluarkan.

“Kami ada bertemu sebelum ini dan dia memberitahu tidak faham dengan perintah selain proses yang perlu dilakukan bagi menyelesaikan perkara itu.

“Keputusan dan perintah dikeluarkan mahkamah tiada masalah cuma sekarang dia perlu ikut perintah itu.

“Saya juga difahamkan dia sudah pun melantik peguam untuk mengkaji semula perintah tersebut dan kita lihat bagaimana. Kita sedang tunggu daripada peguamnya dan harap ia dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Sumber: mstar

(Visited 8 times, 1 visits today)

Tagged , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *