Lima aksi final Piala Malaysia paling diingati



KEDAH juara Piala Malaysia 2016.

KETIKA Kedah bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi final Piala Malaysia esok, wartawan Devinder Singh mengimbas kembali lima detik final paling diingati dalam saingan paling berprestij itu.

1927 – SELANGOR 8 SINGAPURA 1

Ia rekod kemenangan terbesar di final dan Selangor sekali lagi menyamai pencapaian ini ketika berdepan Pulau Pinang pada 1968 tetapi apa yang menarik untuk diperkatakan adalah kehebatan pemain kelahiran British, J E King menghasilkan enam gol, pencapaian yang terus gagal diatasi mana-mana pemain.

Selepas B de Souza memadamkan gol awal Foong Un Sun buat Singapura, King meledak hatrik berganda dalam tempoh setengah jam. Dia kemudiannya menjadi presiden pertama Persatuan Bola Sepak Malaya pada 1974 sebelum merombak kejohanan itu.

1933 – SINGAPURA 8 SELANGOR 2

Singapura akhirnya berjaya membalas dendam kekalahan memalukan pada 1927 tetapi bukan kemenangan besar itu mendapat perhatian, sebaliknya nasib malang penjaga gol Selangor E C Cherrington yang melepaskan lapan gol di pentas final untuk dua pasukan berbeza.

Pemain British itu turut mengawal pintu gol pada final 1927, namun ketika itu untuk Singapura. Aksi itu pada awalnya kompetitif hanya hingga Selangor mendahului 2-1 sebelum hatrik Chia Keng Hock memastikan Singapura meraih kemenangan di Stadium Anson Road.

1978 – SELANGOR 4 SINGAPURA 2

Percaturan menjadi oleh jurulatih M Chandran yang meletakkan Mokhtar Dahari beraksi di bahagian tengah menyaksikan Selangor bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menang 4-2 menerusi tiga jaringan dalam tempoh 15 minit terakhir.

Selepas bolos dua gol dalam tempoh tiga minit, Chandran menggantikan penjaga gol muda Rashid Hassan dengan tonggak berpengalaman R Arumugam dan kebangkitan bermula seminit kemudian apabila Ramli Junit merapatkan jurang. Soh Chin Aun menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki 14 minit dan gol lewat oleh John Engkatesu dan Ramli memastikan 30,000 penyokong Red Giants meraikan kejayaan di Stadium Merdeka itu.

1983 – PAHANG 3 SELANGOR 2

T Pathmanathan meledak gol kemenangan pada masa tambahan dan menghalang percubaan Mokhtar Dahari di atas garisan gol untuk menghadiahkan Piala Malaysia sulung buat Pahang. Hamidon Abdullah memberikan Pahang gol awal di Stadium Merdeka tetapi Khan Hung Meng menyamakan kedudukan untuk mengheret aksi ke masa tambahan.

Dua gol oleh Zainal Abidin Hassan dan Pathmanathan begitu selesa sebelum Mokhtar membalas jaringan untuk aksi kembali mendebarkan, dengan Pathmanathan mengeluarkan tandukan Mokhtar di atas garisan gol selepas penjaga gol Sanusi Daud sudah tertewas.

2012 – KELANTAN 3 ATM 2

Jaringan emas Indra Putra Mahayuddin memastikan kemenangan 3-2 ke atas ATM di Stadium Shah Alam untuk Kelantan melengkapkan gelaran trebel. Selepas memenangi Liga Super dan Piala FA, Kelantan dijangka mudah menjinakkan pasukan Liga Perdana itu tetapi sebaliknya yang berlaku.

Norshahrul Idlan Talaha meletakkan Kelantan di depan sebelum separuh masa. Sebaik bersambung babak kedua ATM menyamakan kedudukan menerusi Rezal Zambery Yahya untuk Norshahrul sekali lagi memberi kelebihan buat The Red Warriors seminit kemudian.

Marlon Alex James mengikat aksi 2-2 tetapi Indra muncul wira apabila sepakan lambungnya pada masa tambahan menghadiahkan Kelantan gelaran itu.

Sumber:hmetro

(Visited 9 times, 1 visits today)

Tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *