Kenapa Ayda menangis setiap hari?


AYDA Jebat. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam

Bakat lakonan Ayda Jebat tidak perlu dipertikai. Kebanyakan drama dibintanginya memberikan impak kepada penonton.

Selepas cemerlang dalam drama Dekatkan Jarak Kita, kredibiliti Ayda yang juga penyanyi popular bakal diuji dalam telefilem Aku Nazmi.

Telefilem khas sempena Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL 2018) itu menyaksikan Ayda melakonkan watak gadis bisu dan pekak.

Bagi menjayakan watak itu, Ayda perlu mengikuti kelas bahasa isyarat. Diakui ia bukan mudah sehingga membuatkan dia menangis.

“Watak ini sangat susah sebab kena belajar bahasa isyarat. Selama seminggu saya mengikuti kelas disediakan penerbit Sheila Rusly. Sepanjang tempoh itu, boleh dikatakan hampir setiap hari saya menangis.

“Apa yang membuatkan ia susah kerana pada masa sama perlu ada reaksi muka. Kalau setakat isyarat tangan ia boleh dihafal. Ini pertama kali saya melakonkan watak sebegini. Bimbang juga nanti, kalau cara saya menggunakan bahasa isyarat itu betul tidak mengapa, tetapi jika sebaliknya pasti kena kritik.

“Saya lega apabila guru yang mengajar kelas ini turut berada di lokasi nanti. Dia akan memantau dan membimbing sepanjang penggambaran. Ia sangat membantu kerana perkara ini tidak boleh dibuat sambil lewa,” katanya.

Selain Ayda, Sheila dan Jay Izwazir juga diberi cabaran sama untuk melakonkan watak orang kurang upaya.


AYDA Jebat. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Enggan panjangkan isu

Kanvas seni Ayda turut diwarnai dengan kisah sensasi apabila dia dikatakan bermasalah dengan pelakon Elvina Mohamad yang juga heroin drama Isteri Untuk Diiktiraf.

Isu itu timbul apabila Elvina dikatakan mesra dengan pelakon, Redza Rosli yang juga hero drama itu hingga membuatkan Ayda sering berkunjung ke lokasi penggambaran drama itu.

Elvina dalam satu kenyataan menganggap perkara yang timbul adalah gosip semata-mata dan bertujuan melaga-lagakannya dengan Ayda.

“Kalau boleh saya tidak mahu mengulas perkara ini. Kak Sheila juga sudah mengeluarkan kenyataan, jadi lebih baik saya diam. Saya tidak mahu isu kecil ini diperbesarkan,” katanya.

Bagi Ayda, apa yang timbul sekadar isu biasa, malah dia sudah lali dengan perkara itu sejak mula-mula bergelar pelakon.

Mengenai kerjaya nyanyiannya, Ayda bakal muncul dengan single Bagai Pelangi yang turut dimuatkan dalam filem Pinjamkan Hatiku.

“Kalau perasan, lagu ini ada dimainkan dalam filem Pinjamkan Hatiku. Cuma ia bukan versi penuh. Memandangkan banyak permintaan ingin lagu ini dijadikan single, saya ambil keputusan menerbitkannya.

“Sejujurnya, saya juga menyukai melodi dan lirik lagu ini. Saya berharap ia boleh pergi jauh seperti beberapa single lain,” katanya.

Menyusul selepas itu, Ayda juga bakal muncul dengan single ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong.

Lagu bergenre dangdut dan EDM itu bagaimanapun masih dalam proses gubahan semula.

“Kalau ikutkan lagu ini sudah siap, cuma saya minta mereka ubah muzik sedikit. Saya tidak mahu ia kedengaran terlalu dangdut. Jadi, saya berikan pendapat untuk selitkan eleman muzik EDM supaya ia lebih segar.

“Kalau sudah okey, baru saya masuk untuk proses rakaman suara. Ini juga antara projek yang ditunggu-tunggu apatah lagi dapat bekerjasama dengan Hael dan Ezra. Bukan semua penyanyi dapat peluang sebegini,” katanya.

sumber:hmetro

(Visited 20 times, 1 visits today)

Tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *