“Dik, Kancil pam 4 tu. Isi minyak kuning RM9.80 (sekeping duit RM5 dan duit syiling,” kata mak cik berkenaan. Kisah ‘Rezeki 20 Sen.


Kisah ‘Rezeki 20 Sen’ Tarik Perhatian Netizen

REZEKI lazimnya difahami sebagai sesuatu pemberian yang dikurniakan kepada kita dalam pelbagai bentuk dan tidak terhad kepada wang ringgit sahaja.

Jika kita fahami secara mendalam apakah sebenarnya konsep rezeki itu, mungkin kita akan jadi insan yang lebih baik dan tidak mudah mengeluh apabila sesuatu permintaan tidak dapat dipenuhi.

Baru-baru ini, tular satu cerita yang dikongsikan pengguna laman Facebook bernama Wan Mohd Hafiz.

Cerita berkenaan bukanlah berlaku kepada dirinya, tetapi kisah itu mampu membuka mata sekaligus membuatkannya mensyukuri nikmat yang telah diberikan.

Menurut Wan, seorang wanita ingin mengisi minyak untuk kereta Kancilnya. Namun, wanita itu hanya mempunyai sekeping duit RM5 dan duit syiling yang berjumlah RM9.80.

“Dik, Kancil pam 4 tu. Isi minyak kuning RM9.80,” kata mak cik berkenaan.

Namun, pekerja stesen minyak berkenaan dengan serba salah bertanyakan jika wanita tersebut mempunyai 20 sen lagi.

Wanita itu menggeleng kepala dan menyatakan hanya jumlah itu sahaja yang dia ada ketika itu.

Dengan secara tiba-tiba seorang lelaki yang berada di belakang wanita tersebut menghulurkan sekeping RM10 kepada pekerja berkenaan.

“Nah ini RM10, campur RM9.80 mak cik itu, jadi RM19.80,” kata lelaki berkenaan.

Jelas riak terkejut yang terpancar di muka wanita berkenaan. Lelaki itu menyatakan duit tersebut merupakan rezeki lebih dan dia ingin berkongsikannya.

Sementara itu, Wan yang melihat kejadian itu beranggapan perkara tersebut sudah selesai, tetapi sebaliknya pula yang berlaku.

Muncul pula seorang lelaki yang turut melihat kejadian berkenaan dan dengan tidak semena meletakkan duit syiling 20 sen di kaunter berkenaan.

Bukan itu sahaja, malah lelaki itu turut mengeluarkan sejumlah wang sebagai wang tambahan yang diberikan kepada wanita tersebut.

“Tambah lagi RM30 ni cukupkan RM50. Minyak Kancil RM50 boleh tahan lama sikit cik,” kata lelaki itu pula.

Perlakuan kedua-dua lelaki itu membuatkan wanita tersebut terharu sehingga mengalirkan air mata dan ucapan terima kasih serta syukur tidak putus dari bibirnya.

Akui Wan, dia tersentuh dengan apa yang baru dilihatnya dan mengaku seakan ‘kalah’ dengan percaturan hebat Ilahi.

Menurut Wan, kejadian yang berlaku itu benar-benar membuka matanya untuk sentiasa bersyukur dan tidak mengeluh dan merungut jika diuji.

“Aku jadi malu sebab beberapa malam sebelum aku menghadap isteri aku sambil mengadu, dalam empat bulan habus ranap RM30 ribu. Susahnya..rezeki kurang menjadilah nampaknya.

“Tapi dengan hanya 20 sen, Allah ceritakan pada aku tentang rezeki, malu rasa hati tapi alhamdulillah, aku dapat menyaksikan sebuah cerita yg hebat,” tambahnya lagi.

Kisah itu telah dikongsi sebanyak 1,046 kali dan menerima 2,900 ‘likes’ setakat ini.

Ternyata kisah itu benar-benar menyentuh hati netizen yang rata-ratanya mengambil iktibar dari perkongsian tersebut. – MYNEWSHUB.CC/SA

*Video sekadar hiasan….

Sumber: mynewshub

(Visited 110 times, 1 visits today)

Tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *