“Dihimpit pelbagai kesusahan sebelum seorang gadis Melayu tiba-tiba muncul membantu”


Budi tulus gadis Melayu

SUNNY bersama isteri dan anaknya.

PELAJAR STPD bergotong-royong membaiki rumah Sunny.

Port Dickson: “Walaupun saya orang Cina, saya sangat terhutang budi pada gadis Melayu ini yang banyak membantu kami sekeluarga,” kata Sunny Sin, 44, penduduk Kampung Sri Parit, Lukut, di sini yang tidak dapat berjalan sepenuhnya akibat buah pinggangnya rosak hampir dua tahun lalu.

Sunny berkata, dia yang juga bekas pemandu lori turut menghidap kencing manis menyebabkannya tidak dapat bekerja.

Katanya, dia menerima pencen ilat RM700 sebulan namun perlu menanggung isteri, Vivi Sumiati, 34, dan empat anak berusia lima hingga 11 tahun.

“Sejak dua tahun lalu, saya dihimpit pelbagai kesusahan sebelum seorang gadis Melayu tiba-tiba muncul membantu. Dia dikenali sebagai Norhazwani Ibrahim berusia 21 tahun dan setiap bulan menghantar bekalan makanan seperti beras, susu, gula dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, difahamkan gadis itu adalah penduduk di daerah ini dan gemar menjalankan kerja kebajikan secara bersendirian.

“Baru-baru ini kediaman saya dipukul ribut menyebabkan bahagian bumbung dan dinding kediaman rosak. Wanita itu jugalah tampil biarpun saya sudah mengajukan masalah terhadap ketua kampung,” katanya.

Katanya, Norhazwani mengumpulkan bantuan daripada pelbagai pihak sebelum bumbung zink, kayu, cat dan bahan membaiki kediaman dibawanya.

“Kediaman ini dibaiki oleh Norhazwani dan rakan-rakannya. Saya sangat terharu dan terhutang budi pada gadis Melayu ini,” katanya.

Sunny berkata, isterinya yang juga warga Indonesia tidak dapat bekerja kerana perlu menguruskan dirinya termasuk semua anaknya.

“Saya sudah tidak tahu mengajukan masalah kepada sesiapa melainkan gadis ini. Dia membawakan makanan setiap bulan, mengumpulkan bantuan luar dan mendengar setiap masalah saya,” katanya.

Kelmarin, gadis itu turut membawa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Port Dickson (STPD) dan bergotong-royong membersihkan kediamannya.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan reaksi Norhazwani gagal kerana gadis itu enggan ditemubual.

Sumber: hmetro

(Visited 13 times, 1 visits today)

Tagged , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *