Betulkah Rosyam Jual Beras 5 Kilo, Ayam Seekor RM1 Aje?


Rosyam Jual Beras 5 Kilo, Ayam Seekor RM1 Aje!

SELEPAS berjaya membangunkan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. menjadi antara produksi yang aktif, Datuk Rosyam Nor bakal buat amal jariah pula untuk masyarakat kurang berkemampuan.

Antaranya termasuk menjual produk popular pengguna tempatan iaitu sekampit beras lima kilogram dan seekor ayam dengan harga hanya RM1 ketika perasmian pasar raya ST Rosyam Mart di ibu negara pada 1 Disember depan.

Hasrat murni tersebut dinyatakan sendiri oleh pelakon berkenaan ketika muncul sebagai tetamu undangan dalam slot Inspirasiku untuk segmen Warna Pagi terbitan Maslina Alias menerusi stesen radio IKIMfm pada Selasa.

“Insya Allah dilancarkan secara rasmi pada 1 Disember nanti dan seminggu pertama, saya ada bincang dengan rakan kongsi untuk jual ayam seekor dan beras sekampit lima kilogram hanya RM1 aje,” kata beliau lagi.

Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin berkata, pasar raya terletak di Setiawangsa, pinggir ibu negara itu sebenarnya seumpama sebuah pasar borong dengan menawarkan harga murah kepada pelanggannya.

“Ini juga untuk bantu mereka yang kurang mampu dan kita bersyukur dapat banyak bekalan pada harga rendah daripada pelbagai pembekal di seluruh negara sebagai rakan perniagaan,” jelas aktor berusia 50 tahun itu.

Dalam siaran wawancara eksklusif selama sejam itu, Rosyam yang bakal muncul di pawagam tempatan menerusi filem komedi terkini, Rempit Sampai Langit mulai 23 November depan, juga bercerita mengenai kejayaan dirinya.

“Itulah lebihan rezeki saya dikongsi masyarakat akhirnya. Apa yang ada itu dicukupkan. Ini juga dapat bantu bisnes usahawan Melayu lain kerana soal rezeki ialah tanggungjawab berkongsi perniagaan dengan orang lain,” katanya.

Rosyam yang turut menubuhkan sebuah syarikat dikenali sebagai Suhan Agro kini aktif dalam penghasilan pelbagai produk asas tani dan terbaharu ialah teh durian belanda serta dikatakan mampu menawarkan risiko kanser.

Beliau yang mula mengorak langkah menceburi bidang peruncitan serta pemborongan melalui ST Rosyam Mart baru-baru ini berkata pusat borong itu adalah cubaan dirinya bekerjasama dengan syarikat terkenal Sri Ternak.

“Asalnya saya membekalkan nangka dan durian belanda diusahakan di Lanchang, Pahang ke premis borong terbabit. Namun selepas dua tahun berurusan, timbul idea kami jalin kerjasama dalam bisnes ini.

“Pengalaman peruncitan selama 38 tahun Sri Ternak, manakala saya sudah 35 tahun bergiat dalam industri seni membuatkan kami yakin bergerak jauh. Saya lebih dalam aspek penjenamaan,” katanya kepada sebuah portal berita.

Justeru kata Rosyam, ST Rosyam Mart menawarkan lebih 10,000 barangan kering dan basah dalam suasana moden untuk keselesaan pelanggan. Proses pembayaran boleh dilakukan menggunakan kad debit supaya lebih mudah.

“Selain itu, kami rancang beroperasi secara atas talian dan ada khidmat penghantaran terus kepada pelanggan, tetapi ia masih lagi harga borong,” jelasnya yang dipetik oleh portal tempatan itu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Sumber:mynewshub

(Visited 25 times, 1 visits today)

Tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *