“Bayangkan Kalau Anak Sendiri Tak Makan”. Jangan Ambil Hak Murid!.


“Bayangkan Kalau Anak Sendiri Tak Makan”


Seorang murid terpaksa makan mencangkung di tepi tiang kantin sekolah pada hari pertama sesi persekolahan, Selasa. Foto Facebook Mohd Fadli Salleh

strong>PETALING JAYA: Sesi persekolahan 2018 yang baru saja bermula telah dicemari dengan kisah pilu seorang murid yang terpaksa makan keseorangan di tepi tiang di sebuah kantin sekolah.

Dia mungkin tidak ditemani ibu bapa, tetapi keadaan anak kecil ini yang mengisi perut dalam keadaan mencangkung pasti meruntun jiwa.

Sekeping gambar kanak-kanak itu membuatkan seorang guru berang dengan memberi amaran ‘Jangan Ambil Hak Murid!’, dan barangkali murid itu bukan hanya seorang yang mengalami nasib yang sama pada hari pertama sekolah pada Selasa.

“Kerusi kantin itu hak murid. Tempat murid duduk untuk makan. Bukan untuk ibu bapa duduk dan melayan anak-anak sendiri hingga murid lain termangu-mangu tiada tempat hendak tuju,” katanya di laman sosial pada lewat malam Selasa.

Bercakap kepada mStar Online, cikgu berkenaan, Mohd Fadli Salleh berkata, peraturan umum di setiap sekolah adalah ibu bapa tidak dibenarkan untuk duduk di kerusi kantin pada waktu rehat melainkan ada lebihan tempat duduk.

“Sesetengah sekolah memberi kebenaran kepada ibu bapa untuk menemani anak-anak mereka pada permulaan sesi persekolahan termasuk di kantin semasa waktu rehat.

“Saya faham keadaan ini sebab anak-anak mereka masih belum dapat membiasakan diri untuk berbelanja, mengira duit dan menerima baki.

“Tak apa kalau nak temankan anak-anak berbelanja dan makan di kantin. Masalahnya bila ibu bapa turut duduk di bangku menyebabkan segelintir murid lain tak dapat duduk untuk makan sehingga terpaksa berlapar apabila waktu rehat tamat,” katanya.


Sikap segelintir ibu bapa yang pentingkan diri sendiri yang turut sama duduk bersama anak-anak semasa waktu rehat di sekolah.

Menurut Mohd Fadli, peraturan itu telah dimaklumkan kepada ibu bapa semasa sesi orientasi tetapi mungkin segelintir guru mahupun ibu bapa ‘terlepas pandang’.

Beliau berpendapat bahawa ibu bapa seharusnya menghormati setiap peraturan di sekolah. Mereka juga perlu lebih sensitif terhadap murid-murid lain.

“Kepada ibu bapa, bayangkan anak sendiri tak makan. Anak balik dari sekolah mengadu lapar sebab tempat duduk di kantin penuh kerana ada ibu bapa murid lain turut sama duduk.

“Pasti anda akan rasa marah dan sedih bukan? Itu yang anda rasa, macam mana pula murid lain yang terpaksa berlapar rasa. Jadi, kalau waktu sesak tu, tak payahlah duduk, temankan saja anak tu di tepi meja,” tambahnya.


Inilah amalan yang wajar dicontohi oleh semua ibu bapa apabila menemani anak-anak mereka di kantin sekolah.

Dalam pada itu, Mohd Fadli turut berkongsi kisahnya semasa menjadi guru murid Tahun Satu kira-kira tujuh tahun lalu mengenai seorang anak yatim yang kematian bapa, manakala ibunya yang menghidap kanser terpaksa berada di wad, sekali gus tidak dapat menemaninya pada hari pertama persekolahan.

Pada hari berkenaan, kanak-kanak itu terkebil-kebil sendirian berdiri diam di tepi tiang sambil menyaksikan betapa kejam orang dewasa duduk di tempat murid sambil menyuap anak mereka makan.

Murid itu kelaparan tetapi tidak sempat makan sehingga tamat waktu rehat dan mahu meletakkan pinggan yang berisi makanan tanpa sempat dijamah.

“Dia takut kena marah dengan cikgu. Dia rela berlapar kerana risau lambat masuk kelas. Namun dengan jaminan aku, dia akhirnya akur untuk makan. Aku tunggu sampai dia siap, aku hantar dia ke kelas.

“Itu anak yatim yang kau orang dewasa kejam ambil hak dia. Kau paparkan gambar bahagia menyuap anak tercinta di kantin padahal sebenarnya kebahagiaan kau itu meragut hak anak yatim!,” ujar Mohd Fadli dengan nada kesal.

Sumber:mstar

(Visited 12 times, 1 visits today)

Tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *